Tuesday, July 5, 2016

Coretan pagi 30 Ramadhan

Dalam kita sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari raya, pagi ini penduduk di kawasan perumahan kami menerima satu berita yang mengejutkan. Usai kami bersahur, kami menerima berita bahawa salah seorang jiran kami telah pergi menemui Ilahi pada pagi tadi. Allahyarhamah yang menghidapi kanser usus telah menghembuskan nafasnya di rumahnya sebelum subuh pagi tadi.  Selepas solat Subuh, ibu, ayah dan aku pergi ke rumah jiran kami untuk menziarahi keluarga Allahyarhamah.

Ya Allah! Wajah Allahyarhamah sangat tenang. Keluarga Allahyarhamah juga tenang dan redha menghadapi ketentuan Allah ini. 

Ketika ziarah tadi, ada seorang mak cik (jiran kami) menyuruh salah seorang dari kami untuk mengikat dagu Allahyarhamah supaya dagunya tidak jatuh. Ibuku menyuruh aku berbuat demikian. 

Jujur aku katakan, aku memang pernah pergi kursus pengurusan jenazah. Namun hakikatnya belajar dan praktikal di alam realiti sangatlah berbeza. Membuatkan aku sedar, aku tak banyak pergi menziarahi orang yang meninggal dunia, apatah lagi menguruskannya. Boleh dikira dengan jari. 

Tatkala aku berbuat demikian, terdetik di hati aku, kalau aku pula yang mati nanti, siapa yang akan menguruskan jenazah aku? Nak fikir, siapa yang nak mandikan, nak kafankan, nak solatkan? 

Dari segi persediaan memang jauh ketinggalan. Ada orang sudah bersiap sedia dengan kain batik lepas, tuala malah kain kafan! Allah!

Memang benar, kita digalakkan untuk menziarahi orang yang meninggal dunia supaya diri kita ingat akan mati. Mati ini tidak mengenal usia. Bila-bila sahaja kita boleh dijemput menemui Ilahi. 

Aku tiba-tiba teringat, masa zaman aku belajar di MRSM dahulu, maktab kami selalu mengadakan solat jenazah ghaib jikalau ada kematian. Maka, segala bacaan dalam solat jenazah memang aku ingat, bukanlah hanya semata-mata untuk pass PAFA sahaja. Namun kini, aku rasa aku sudah lupa akan semua itu. Masya-Allah. Betapa teruknya aku. Ilmu tanpa amal. 

Apa pun, didoakan semoga Allahyarhamah diampunkan dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. 

Al-Fatihah.
Source: Google.com

without wax,
haniyahaya

No comments: