Saturday, September 22, 2012

Teknologi dan Tamadun Manusia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pagi tadi, masa tengah dok menunggu kain tengah spin kat washing machine, try lah buka handphone. Nak check Facebook. Tiba-tiba kan, ternampak satu post ni naik kat news feed. Terbeliak biji mata bila baca. 

Arakian tersebutlah kisah di mana, saya melihat ada satu post yang ditulis oleh bekas pengetua sekolah saya dahulu kat satu page ni. Nama page ni yang membuatkan biji mata hampir tersembul keluar.

 (nama sekolah) benci cikgu (nama cikgu)

Lebih kurang gitu lah nama page tu. Masa tu saya rasa macam tak percaya. Biar betul! Sampai hati buat page macam ni. Istighfar banyak-banyak. Nafas ditarik sedalam-dalamnya.

Dalam page tu, tiada post yang memburukkan guru tersebut. Hanya penuh dengan post yang memberi nasihat kepada pelajar yang bertindak membuat page tersebut supaya sedar akan tindakannya. Page tu pun dah lama sebenarnya, cuma saya tak tahulah, kenapa orang yang bertanggungjawab tu tak delete je page tu. Mungkin lepas ni kot sebab pelajar tu maybe sedang sibuk dengan study :)

Dewasa ini, kita sering melihatkan betapa pantasnya kemajuan arus teknologi. Jika dahulu, handphone Nokia 3310 itu sudah dikira hebat, namun segalanya sudah berbeda kini. Dunia sekarang sudah berubah. Gajet-gajet canggih seperti iPhone, iPad, Samsung Galaxy Tab dan sebagainya mula meraih tempat di hati masyarakat. Kemudahan untuk berkomunikasi juga tidak seperti dahulu. Kalau dulu kita bergantung harap kepada panggilan telefon dan surat-menyurat, kini dengan adanya kemudahan internet, segala-galanya menjadi mudah dan efisien. Dunia di hujung jari.

Sumber : Google.com

Namun, di sebalik kemajuan teknologi yang dikecapi pada hari ini, ada suatu perkara yang amat membimbangkan kita. Keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan remaja. Jika kita lihat, dengan adanya telefon pintar, kita boleh mengakses internet dengan mudah. Golongan remaja terutamanya bebas untuk melayari laman-laman sesawang yang ada. Semuanya boleh didapati dengan mudah. Taip sahaja kata kunci yang anda kehendaki, dan dalam masa beberapa saat, agen pencarian seperti Google akan memberikan 1001 maklumat yang anda kehendaki itu. 

Dalam masa yang sama, sudah menjadi satu trend pada masa kini untuk mempunyai satu akaun jaringan sosial seperti Facebook dan Twitter. Antara faedah jaringan sosial ini ialah kita dapat berhubung dengan kenalan dengan lebih cepat, murah dan mudah.Namun apabila kemudahan seperti ini telah disalahgunakan, ianya banyak mengundang padah dan salah satunya ialah keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan remaja.

Jika kita lihat, golongan remaja merupakan golongan yang paling ramai menggunakan Facebook dan Twitter.Tetapi apabila teknologi seperti itu sudah disalahgunakan, ianya banyak memberi impak negatif kepada mereka. Kita ambil contoh mudah, jikalau seseorang itu bergaduh atau rasa tak puas hati terhadap ibu bapanya, dia akan segera mengupdate status di laman Facebook atau Twitter tentang perasaannya ketika itu. Ditambahi pula dengan jumlah like dan retweet yang diterima, ianya sekali gus menggalakkan seseorang itu untuk terus melakukannya tanpa disedari boleh menimbulkn kesan yang lebih buruk. Kesan yang lebih buruk ini dapat dilihat apabila semakin ramai yang menggunakan perkataan yang kesat dan tidak sepatutnya di alam maya, membuat page-page yang ada unsur-unsur negatif dan juga sebagainya. Hal ini juga turut menyumbang kepada perpecahan masyarakat yang berbilang agama, bangsa dan negara.

Sumber : Google.com

Persoalannya, sampai bila perkara ini harus berlaku? Tidak mustahil suatu hari nanti, guru-guru seakan-akan tidak lagi bersemangat untuk mengajar apabila kuasa pelajar menandingi kuasa guru kerana besarnya pengaruh seseorang pelajar itu di alam maya. Para pelajar juga akan hilang rasa hormat pada guru. Guru dianggap sebagai teman, bahkan boleh jadi lebih rendah daripada itu. 

Saya memohon ampun dan maf seandainya entri ini ada banyak salah-silap. Apa yang saya harapkan ialah semakin maju kita dalam arus teknologi, semakin tinggi ketamadunan kita. Jangan disebabkan dunia semakin canggih, kita sudah hilang budi bahasa dan juga adab sopan.

Sumber : iluvislam.com

without wax,
haniyahaya :)

nota kaki: Petama kali menulis sebegini setelah hampir dua tahun tidak menulis esei seperti esei SPM. Saya perlu banyak membaca dan praktis menulis!

No comments: