Saturday, February 18, 2012

Aku Jatuh Cinta

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, syukur ke atas limpah rahmat-Nya, kita masih lagi diberikan kesempatan untuk hidup di atas muka bumi ini. Say "Alhamdulillah!"

Syukur, Alhamdulillah kerana saya sudah berjaya menghabiskan Final Exam Sem I. Saya tak mahu ulas dengan lebih lanjut kerana dikhuatiri akan menangis 7 hari 7 malam disebabkan terkenang kembali bagaimana saya menjawabnya. Saya hanya bertawakkal kepada Allah. Dia yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Jadi, baik buruknya, saya akan terima dengan hati yang terbuka. Kita dah berusaha sehabis baik, sekarang ni biar Dia yang tentukan. Insya-Allah, doa yang terbaik untuk itu. 

Oh, memandangkan cuti semester I telah bermula sebaik sahaja kami tamat peperiksaan, saya dan rakan-rakan yang lain telah bercadang untuk menghadiri forum yang bertajuk 'Aku Jatuh Cinta' anjuran Persatuan Mahasiswa Islam MSU pada malam Rabu. Ahli panel yang terlibat ialah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan Ustaz Halim Din. Siapa yang tak kenal siapa Ustaz Hasrizal, boleh menggunakan perkhidmatan Haji Google.com. (Haji Google.com tu ayat Ustaz Hasrizal sebenarnya.. Hehehe )

Jadi untuk entri kali ini, saya rasa adalah elok sekali jika saya berkongsi sedikit input yang dapat saya perolehi semasa menghadiri forum itu. Well, sharing is caring, right? :)

Cinta itu ibarat tenaga

Saya berani jamin, bila orang bercakap pasal cinta je, mesti akan ada yang hatinya berbunga-bunga riang dan melompat tinggi setinggi menara Burj Khalifa. Excited. Bak kata Ustaz Hasrizal," Kalau bincang bab cinta, lepas tu ada orang yang tidur. Orang tu memang hopeless lah.
Betul tak? Cinta ni kalau kita buka sikit topik dia, mahu ada yang jadi Hikayat 2000 malam? Sungguh hebat kuasa cinta itu bukan?
Memetik kata-kata Ustaz Hasrizal lagi, " Cerita cinta ni banyak mazhab."

Cinta ni sebenarnya tenaga. Kalau sesiapa yang pernah belajar Fizik, mesti tahu yang tenaga tu tidak boleh dimusnahkan tetapi boleh ditukar menjadi suatu bentuk yang lain. Sebagai contoh, tenaga elektrik yang boleh ditukarkan menjadi tenaga kinetik.

Oleh yang demikian, samalah juga dengan cinta. Cinta ni dalam kata yang mudah, suatu tenaga yang tak boleh kita nak musnahkan. Itu hukum alam yang kita tak boleh sangkal lagi. Kita tak boleh terus lenyapkan benda tu dalam diri kita. Itu kan fitrah.

Ciri - ciri orang yang bercinta 


Ciri-ciri orang bercinta ni senang je kalau kita nak tengok. Kebiasaan orang bercinta ni, dia akan beri kesanggupan kepada benda yang kita tak sanggup. 'Tenaga' yang memberikan kita kesanggupan untuk melakukan sesuatu yang tidak sanggup dilakukan dalam keadaan biasa.

Sebagai contoh mudah, ada satu papan ni. Tak lah besar mana pun. Lepas tu, ada 100 orang kena seberang atas papan ni, kat atas tempat yang tinggi dia 1 meter. Dan sudah pasti, 99 orang daripada 100 orang itu sanggup untuk seberang atas papan itu. Setakat 1 meter, apalah sangat kan? Lepas tu, cuba kita tambahkan lagi ketinggian tempat tu jadi 2 meter atau 3 meter, mungkin hanya setakat 50 orang sahaja yang akan sanggup seberang atas papan yang sama. Lepas tu, cuba kita tukar pula, seberang atas papan yang sama tapi kali ini lagi ekstrem dan penuh bergaya yakni atas bangunan 5 tingkat. Haa.. Ada berani? Kalau dalam 50 orang tu, mungkin hanya seorang je kot yang berani. Mungkin..Tu pun mesti masih berkira-kira juga dalam hati, nak seberang ke tak. Tapi, cuba bayangkan, kalau bangunan 5 tingkat tu terbakar dan orang tu perlu selamatkan keluarga kita dan harta benda kita, sudah pasti dia sanggup, betul tak? Sebab apa? Sebab dia mesti cintakan keluarganya. Mesti dia sayangkan harta bendanya. Betul bukan? Walaupun terpaksa seberang bangunan 5 tingkat dengan menggunakan papan yang lebarnya mungkin sekangkang kera.

Anda berani?
Sumber : Google.com

Itulah analogi mudah tentang ciri orang yang bercinta. Memetik kata-kata yang sangat popular, 'lautan api sanggup kurenangi'. Inikan pula takat bangunan 5 tingkat. Ohooii.. Apalah sangat bukan? Kita mungkin rasa benda tu mustahil, luar daripada kesanggupan kita. Namun, kalau dah namanya cinta, sudah pasti kita sanggup untuk lakukannya walaupun pada awalnya kita rasa benda tu tidak masuk dek akal.

Cinta yang Hakiki


Kita semua sudah sedia maklum, sebenarnya cinta itu bukan hanya cinta sebagai pasangan kekasih muda-mudi, bukan hanya cinta sebagai pasangan suami isteri. Cinta ni banyak. Cinta kepada ibu bapa kita, guru-guru kita dan juga sahabat-sahabat kita. Namun begitu, cinta yang paling agung ialah cinta kepada Allah dan juga Rasul-Nya.

Namun demikian, berapa ramaikah yang meletakkan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya ke tempat yang paling atas sekali?

Kalau kita tengok, Nabi Muhammad SAW sangat cinta kepada Allah SWT. Pernah diceritakan bahawa, kalau Baginda dengar azan, Baginda akan terus ke masjid untuk menunaikan solat. Baginda seolah-olah tidak kenal sahabat-sahabat Baginda seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan juga Saidina Ali. Begitu cintanya baginda terhadap Allah sampai diketepikan segala yang duniawi.

Alangkah agungnya cinta Nabi Muhammad SAW terhadap Allah. Cuba kita tanya diri kita? Siapakah yang akan menjadi pujaan hati? Adakah Inche Damon Salvatore yang super hot itu? Atau mungkin ahli One Direction yang sumpah osem lagi bergaya? Atau mungkin juga Orlando Bloom yang kool gila tahap tak ingat punya? Barangkali Angelina Jolie yang sangat bergaya dan seksi itu? Atau mungkin juga Emma Watson yang sangat kiut itu? Atau mungkin juga 'gelifriend' atau 'buayafriend' yang bertakhta di hati kita? Kan??

Bagaimana untuk timbul rasa khusyuk bercinta kepada Allah?

Cinta kepada Allah merupakan cinta yang paling agung yang tiada tolok bandingnya. Ianya bukan seperti cinta Maharaja Shah Jahan kepada isterinya, Mumtaz Mahal atau cinta Romeo dan Juliet atau juga cinta Laila dan Majnun. Cinta kepada Tuhan yang Maha Pencipta itu sangat tinggi nilainya dan istimewa.

Oleh yang demikian, salah satu cara untuk kita tanamkan rasa khusyuk bercinta kepada Allah ialah dengan melihat apa yang ada pada Nabi Muhammad SAW. Semua sudah sedia maklum, Nabi Muhammad SAW merupakan uswah hasanah. Justeru, bila kita mengambil contoh tauladan yang ditonjolkan oleh Nabi Muhammad SAW, sudah tentu kita dapat memupuk rasa khusyuk bercinta dengan Pencipta kita.

Cuba kita selami sirah Nabi Muhammad SAW. Setelah merasakan berbagai seksaan dan penderitaan yang dilancarkan kaum Quraisy, Rasulullah saw berangkat ke Thaif mencari perlindungan dan berharap agar mereka dapat menerima ajaran yang dibawanya dari Allah SAW.

Setibanya di Thaif , Baginda bertemu dengan orang-orang yang berkuasa di daerah tersebut. Baginda berbicara tentang Islam dan mengajak mereka supaya beriman kepada Allah. Tetapi ajakan Baginda tersebut ditolak mentah-mentah dan dijawab secara kasar. Tidak cukup dengan itu lagi, mereka telah mengarahkan kaum penjahat dan para budak untuk mencerca dan melemparinya dengan batu, sehingga mengakibatkan cedera pada kedua kaki Rasulullah SAW. Zaid bin Harithah, berusaha keras melindungi Baginda, namun Zaid sendiri terluka di kepalanya.

Begitu besar dugaan dan cabaran yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan syiar Islam. Baginda merupakan kekasih Allah. Namun, tidak ada sekelumit pun rasa putus asa, atau rasa bosan terhadap Pencipta. Kalau nak dibandingkan dengan kita sekarang ni. Sedangkan kalau bekalan air atau elektrik tiada pun sudah merungut itu ini, belum lagi kalau kita dibaling dengan batu dan najis. Betul tak?

Sumber : a-taste-of-honey.tumblr.com
Oleh yang demikian, untuk kita semai rasa khusyuk dalam bercinta kepada Allah, kita hendaklah lihat apa yang ada pada Nabi Muhammad SAW. Kita lihat bagaimana akhlak yang ditonjolkan oleh Nabi SAW. Bagaimana Baginda berkorban demi cinta Baginda kepada Allah SWT. Insya-Allah, rasa khusyuk bercinta kepada Pencipta kita itu akan terbit di sudut hati kita.

Masalah sosial berleluasa : Adakah manusia sudah hilang cinta?


"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." 
[Ar-Ruum 30:21]


Allah mencipta makhluk berpasang- pasangan. Manusia berpasangan lelaki dengan perempuan. Haiwan juga ada jantan dan betinanya hatta pokok bunga sekalipun ada debunga jantan dan betinanya. Jika manusia itu lelaki sahaja atau perempuan sahaja, tentulah dunia ini akan sunyi dan jemu serta tidak ada peningkatan dalam  keturunan manusia.

Sumber : Google.com
Sudah semestinya cinta antara manusia itu fitrah yang kita tak boleh nafikan lagi. Menjadi satu fitrah bagi manusia untuk menyayangi dan disayangi. Namun demikian, jika cinta sesama manusia itu berlandaskan hawa nafsu semata-mata, cinta itu akan mengundang kepada keburukan. Terlalu banyak cinta juga akan mengundang musibah. Oleh sebab itulah, kebejatan masalah sosial dalam kalangan masyarakat kita hari ini semakin berleluasa.

Diceritakan bahawa, sewaktu era Kerajaan Islam Andalus sedang berkuasa dan dihormati, kuasa-kuasa Nasrani yang berjiran dengan Kerajaan Islam Andalus telah menghantar pengintip ke Andalus supaya mereka boleh menakluki Andalus.

Salah seorang pengintip telah ditugaskan untuk pergi mengintip di kawasan Andalus. Sedang pengintip itu menjalankan tugasnya, dia telah bertemu dengan seorang pemuda yang menangis teresak-esak. Pengintip itu segera mendapatkan pemuda itu seraya bertanya,

" Mengapakah kamu menangis, wahai anak muda?"

" Saya menangis kerana saya telah memanah dan sasaran saya hanya mengena satu sahaja. Sedangkan pada hari semalam, sasaran saya yang tepat ialah dua," jawab pemuda yang menangis itu.

Setelah itu, pengintip itu pulang ke negaranya dan melaporkan bahawa Kerajaan Islam Andalus tidak sesuai untuk diserang sekarang kerana kerajaan tersebut sangat kuat. Sekiranya mereka menyerang Andalus tatkala itu, sudah pasti mereka akan tewas di tangan Andalus.

Setelah beberapa tahun berlalu, pengintip itu meneruskan lagi kerja-kerja pengintipannya. Sedang dia berjalan, dia bertemu dengan seorang pemuda lain yang menangis di tepi jalan. Pengintip itu terus mendapatkan pemuda itu dan bertanya,

" Mengapakah kamu menangis?"

" Saya menangis kerana ditinggalkan kekasih," jawab pemuda tersebut.

Pengintip tersebut kemudiannya pergi meninggalkan pemuda itu lantas pulang ke negaranya dan melaporkan kepada pembesar di negaranya. Pengintip itu mengatakan, masa ini merupakan masa yang sesuai bagi negara mereka untuk menawan Andalus. Akhirnya, Kerajaan Islam Andalus telah diserang dan bermulalah era kejatuhan Kerajaan Islam di Andalus.

Lihat, bagaimana kejatuhan sesebuah kerajaan. Ini bukan bermakna jatuhnya kerajaan Islam pada masa itu hanyalah kerana cinta manusia. Ada banyak lagi sebab jatuhnya kerajaan Islam Andalus pada waktu itu. Namun, pengajaran yang boleh kita ambil melalui cerita ini ialah kerana cinta, manusia itu boleh jatuh pada bila-bila masa sahaja dan boleh menerima musibah akibat cinta.

Jika kita lihat, masalah sosial yang berlaku seperti kes zina, kes kelahiran anak luar nikah dan juga kes pembuangan anak yang begitu tinggi ini berkait rapat dengan cinta. Cinta yang berlandaskan hawa nafsu semata-mata. Tidak salah untuk kita bercinta sesama manusia kerana itu fitrah bagi seorang manusia. Namun apa yang tidak boleh disini ialah cinta yang berlandaskan nafsu semata-mata, bukannya kerana Allah.

Sumber : an-nahl.tumblr.com

Ada orang bertanya, "Boleh ke bercinta sebelum kahwin,ustaz?"
Ustaz kata boleh, tapi susah; takde panduan. Dalam Al-Quran takde, dalam Sunnah takde. Ada ke kita nampak mana-mana ayat Al-Quran atau Hadith yang cakap "bercintalah kamu sebelum kahwin". Takde kan? Namun, Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Oleh yang demikian, Allah ciptakan perkahwinan sebagai jalan penyelesaiannya. Sungguh indah bukan aturan Allah SWT? Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Ustaz sambung lagi, takde perkataan dalam bahasa Arab untuk menakrifkan 'cinta' sebelum perkahwinan. Kita tak jumpa. Oleh itu, cinta sebelum berkahwin adalah permainan, kealpaan, nafsu dan ia juga sebagai tanda kita ni kurang kasih sayang! Kenapa? Sebab kita pilih cinta yang cepat, 'instant'. Dapat cinta yang cepat, murah pun jadilah! Dan akhirnya, berlakulah masalah seperti lahirnya anak luar nikah dan juga pembuangan bayi.

Jaga Hati, Jaga Iman

Kesimpulannya, jagalah hati dan jagalah iman. Percayakan janji Allah SWT, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan begitu juga sebaliknya. Seperti firman Allah SWT;

"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia."
[An-Nur 24:26]

Sabarlah, cinta itu ada untuk semua. Cuma masanya cepat atau lambat sahaja. Apa yang penting, cinta yang hakiki itu adalah cinta kepada Allah SWT. Cinta kepada Allah SWT tiada tolok bandingnya dan sangat tinggi nilainya. 

Sumber : fatenmuhamad.tumblr.com

Sekian sahaja buat kali ini. Mungkin tak semuanya isi forum yang saya hadiri itu saya letak. Maaf ye. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu datang atas kelemahan diri saya sendiri. Semoga kita semua mendapat ibrah daripadanya. Insya Allah.



***
" Kalau bercinta, biarlah bercinta sampai ke syurga." 
- Ustaz Hasrizal


Sumber : liveyoursoul.tumblr.com

Allahualam. May Allah bless you! :)

without wax,
haniyahaya :)

nota kaki 1 : Maaf andai ada salah silap daalam entri saya kali ini, penggunaan bahasa saya tidak begitu menarik, puitis dan sebagainya.
nota kaki 2 : Sekiranya ada cadangan atau komen sangatlah dialu-alukan. Ini kali pertama saya menulis entri panjang sebegini dan tajuknya agak berat juga saya rasa :)



2 comments:

Anonymous said...

Entry yang panjang tapi menarik. credit to you and your effort - Akmal

haniyahaya said...

@Akmal : Terima kasih! Really appreciate it much! :)