Tuesday, July 12, 2011

Kehilangan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan, Nabi Muhammad SAW.

Pada jam 4.50 pagi tadi, aku mendapat satu panggilan daripada Kak Nadhirah. Panggilan yang aku rasa panggilan yang sungguh tidak aku sangka.

" Assalamualaikum, Min. Nabilah dah tak ada. Dia pergi pukul 4.30 pagi tadi."

Aku seakan-akan tidak percaya. Benarkah? Atau aku masih bermimpi? Namun, aku sedar. Perkhabaran itu sebenarnya memang betul. Manik-manik jernih terus turun dan mengalir di pipi. Hiba bercampur terkejut.

Aku lantas mendail ibu untuk memberitahu tentang perkhabaran tersebut. Nyata ibu juga turut terkejut. Dan pagi itu, aku mengambil keputusan untuk menziarahi arwah buat kali terakhir sebelum beliau pergi meninggalkan alam dunia menuju ke alam barzakh. Aku pergi bersama sahabat karib aku, Melor (nama panggilan) dan ayahnya. Pagi itu buat pertama kalinya aku pergi ke rumah arwah di Batang Kali, Selangor.

Aku bertolak dari rumah aku di Shah Alam dengan menaiki teksi sehingga ke stesen KTM Shah Alam. Aku rasa bersyukur kerana pak cik drebar teksi tu sangat baik dan memahami aku. Dia faham akan kondisi aku yang sedih dan pilu kerana kematian sahabat karib. Pak cik itu tidak putus-putus memberi nasihat sepanjang perjalanan aku ke stesen KTM Shah Alam. Antara nasihatnya ialah :

-Kita jangan bergantung harap kepada manusia sebabnya, Allah itu lebih berkuasa. Kuasa manusia tidak dapat menandingi kuasa Allah. Kalau kita serahkan semuanya dan terus bergantung kepada teknologi manusia, sudah semestinya kita takkan sembuh. Kita kena tawakal kepada Allah. Usaha memang kena usaha, tapi apa-apa pun, kita kena tawakal kepada Allah. Kita serahkan semuanya kepada Allah sebabnya Dialah Yang Maha Mengetahui tentang segala sesuatu dan Dia juga Maha Berkuasa atas segala sesuatu.


Teringat pula aku kepada firman Allah SWT di dalam Al-Quran :

"Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku."

"And when I am ill, it is He Who cures me."




-Kita juga kena makan makanan seperti zaitun, habatus sauda' dan makanan-makanan yang baik yang lain supaya kita lebih sihat. Kena kurangkan pengambilan makanan terutamanya fast-food.

Aku berterima kasih kepada pak cik tu sebab memberi semangat kepada aku pagi itu. Terima kasih pak cik! Jazakallahukhairan kathira!


Selepas itu, aku membeli tiket KTM untuk ke stesen KTM Sentul kerana Melor telah berjanji untuk menjemput aku di sana dan kami kemudian akan ke Batang Kali bersama-sama.
Sampai sahaja di rumah arwah, aku dapat rasa suasana hiba mengelilingi rumah tersebut. Aku segera bersalaman dengan ibu arwah, Mak Cik Ros. Ternyata Mak Cik Ros terkejut dengan kehadiranku.

" Sampai juga kau ye Min. Nabilah pun ada sebut-sebut mana kau. Dia tanya juga kau buat apa sekarang," kata Mak Cik Ros yang aku lihat sudah mengalir air matanya.
Air mata yang aku seka dari tadi turut tumpah. Aku tidak mampu menahannya. Tatkala melihat wajah Nabilah, aku rasa cukup hiba. Sungguh aku tak sangka dia pergi seawal ini. Aku baru sahaja bercadang untuk menjenguknya, tapi tak sangka yang aku akan menjenguknya dalam keadaan jasadnya terbujur kaku. Sejuk.

Aku dan Melor setia mengikut dari memandikan jenazah, mengkafan, solat dan mengebumikan jenazah. Alhamdulillah, arwah selamat dikebumikan selepas Zuhur. Aku berharap semoga arwah termasuk dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh.

Aku tak sangka, pertemuan aku, Melor dan Nabilah pada hari ini merupakan pertemuan yang terakhir buat kami bertiga. Ya, kami telah membesar bersama-sama. Aku, Melor dan Nabilah selalu bermain bersama, pergi ke sekolah yang sama dari tadika lagi sebelum kami semua membawa haluan masing-masing. Namun ukhuwah yang terjalin tidak pernah putus. Mungkin aku jarang-jarang berhubungan dengan arwah, namun ingatan aku terhadapnya tak pernah luput.

Daripada dulu kami bertiga, dan kini tinggal aku dan Melor sahaja. Nabilah telah meninggalkan kami buat selama-lamanya.

Terima kasih sahabatku Nabilah untuk segalanya. Min akan sentiasa doakan untuk Nabilah. Thanks for being such a good friend. I'm sorry for all the things that I've done to you. I know that I hardly keep in touch with you. Minta maaf sangat-sangat sebab dah lama tak contact Nabilah dan tak sempat jenguk Nabilah di hospital. Insya Allah, Min akan cuba jadi doktor yang baik sebab tu cita-cita kita kan?

***
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."

(Al-Baqarah: 214)

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira."

(Az-Zumar: 10)

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan)..."

(Ali-Imran: 200)


Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi ia satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.
(sumber: iluvislam.com)



Sekian, Wassalam.

Ukhuwwah fillah abadan abada~

Salam Sayang,
Min.

nota kaki: Untuk pengetahuan semua, arwah meninggal kerana beliau telah menghidap penyakit leukimia. Oleh itu, sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah untuk beliau. Al Fatihah~

3 comments:

shikin said...

takziah untuk kawan awak.

Anonymous said...

good start

ruqaiyahghazi said...

Tazkirah. Be strong my dear :)