Friday, May 27, 2011

Gajah sama gajah berperang, pelanduk mati di tengah-tengah

Kelas 5 Hijau riuh - rendah dengan suara ahli kelas mereka. Mentang - mentang Guru Bahasa Inggeris mereka, Puan Anom tidak hadir pada hari itu kerana terpaksa ke hospital, memang kesemua 24 orang ahli kelas itu sudah mula naik tanduk mereka. Jika sebelum ini nampak baik, Ah! Alim-alim kucing sahaja itu. Hanya ingin mengaburi mata guru-guru yang mengajar. Sungguh licik mereka.

Kelas itu sememangnya agak tersorok berbanding kelas-kelas yang lain. Dan dikesempatan itu mereka semua menggunakan peluang yang ada di hadapan mata ini dengan sebaiknya. Kelas itu menjadi gempar kerana ada satu topik hangat yang menjadi buah mulut seluruh isi kelas 5 Hijau.

" Ehem..ehem. (suara orang ingin membasahkan kerongkong sebelum mula bercakap).Weh korang. Aku ada satu benda nak bagi tahu ni," kata ketua kelas 5 Hijau, Amin. Orangnya berkulit kuning langsat dan berkaca mata.

23 pasang mata kesemuanya tertumpu ke arah Amin. Mendengar dengan penuh khusyuk dan tidak sabar, seolah-olah pengumuman esok raya.

" Macam ni, memandangkan Madam Anom tak datang hari ni..Jadi aku nak bincang sikit pasal dia kat korang," kata Amin.

Suasana kelas 5 Hijau sunyi seketika. Bunyi kipas yang berpusing pada kadar 5 macam gaya helikopter nak terbang sahaja kedengaran.

"Seperti korang semua tahu, Madam Anom nanti dah nak mula mengajar kita balik minggu depan. Apa kata kita bagi hadiah kat dia sempena perkahwinan beliau yang baru berlangsung baru-baru ni. Nak tak?" soal Amin lagi. Lagak gaya menunjukkan dia seorang pemimpin yang berkaliber.

"AKU SETUJU!!" lantang Azhar bersuara sambil bangun dan mengangkat jari telunjuknya ke udara. Gayanya memang sungguh benar dengan idea bernas Amin tu.

Seisi kelas tersengih sahaja melihat akan gelagat Azhar. Suara soseh-soseh mula kedengaran. pelajar perempuan paling ligat berbincang. Yang laki ada jugalah, tapi tu pun berbincang tentang perihal kerja sekolah yang diberi oleh Madam Anom yang tidak lagi disiapkan sepenuhnya.

"Okey, kalau semua setuju, kita nak bagi hadiah apa ni kat Madam Anom?" tanya Amin kembali.

"Kita bagi hadiah yang simple la, but nice.. Macam set pinggan mangkuk ke?" ujar Siti, Penolong Ketua Kelas 5 Hijau.

"Bagus idea Siti tu. Aku sokong. Lagipun benda tu berguna buat orang yang baru berumah tangga ni," sokong Junaidah yang dudk di sebelah Siti.

"Tapi, kalau set pinggan mangkuk tu mahal lah. Apa kata kita bagi cadar katil. Comforter ke?" cadang Salmah.

"Kalau kita bagi set cawan je okey jugak apa. Berguna," bidas Khairi pula.

"Eh kau, mana boleh.. Set cawan pun mahal jugak lah," sahut Nor.

"Eh, jangan risau. Tu kan bisa diatur.. Ni Syed ni kan kaya raya. Duit setakat RM50 tu buat letak celah gigi je. Dia boleh tolong sponsor," gurau Fahmi.

"Banyak lah kau punya kaya raya. Kalau duit Saidina tu banyak lah aku. Kalau Ringgit Malaysia, jangan haraplah," kata Syed sambil meluku kepala Fahmi.

"Eh, kita kan ada kawan yang mak dia tokey pinggan mangkuk kat Langkawi ni.. betul tak Mat?" soal Abu kepada Mat, si anak jati Langkawi yang terkenal dengan lagenda Mahsuri itu.

"Amboi Abu!! Awat, hang ingat aku ni cop duit ka? Kalau mak aku tu Menteri tak pa lah jugak aku sponsor hadiah. Hang ingat mak aku tu apa? Mak aku takat tokey jual kuah rojak boleh la. Hang ni la.. Memang tak sayang mulut betoi. Satgi aku cabai mulut hang baru hang tahu.. Padan muka hang," kata Mat sambil menepuk belakang Abu. Dah mai dah slang utara dia yang pekat macam santan tu.

"Gomo! Gomo! " sengih Usop, si anak jati Bachok sambil menepuk belakang Abu.

Yang lain ketawa sahaja melihat aksi rakan-rakan yang lain.

"Aku rasa kita patut bagi kad yang kita buat sendiri. Lagi bermakna. Lagipun jimat kos. Duit kelas kita ni bukan banyak mana pun. Dah masing-masing liat nak bayar kan.." tiba-tiba sahaja si Bendahari kelas 5 Hijau itu bersuara. Ayuni namanya.

Gelak tawa ahli kelas 5 Hijau terus diam. Diam seribu bahasa. Selisih malaikat 44.

"Dah..dah.. tak payah bertekak lagi," suara Amin mula meninggi. Keras juga bunyinya. Tanda amaran. Gawat.! Kalau Amin dah mula naik suara, habis!

Senyap sunyi seketika kelas 5 Hijau. 23 pelajar lain hanya memandang tepat ke arah si ketua kelas yang lagaknya sudah seperti Yang Di-Pertua di sidang parlimen. Hanya mampu mendengar keputusan rasmi yang bakal dikeluarkan dari mulutnya yang tebal itu.

"Dah, aku minta pendapat korang. Bukannya nak mintak korang bergaduh ke apa," tegas kali ini Amin bersuara.

"Aku rasa kita patut bagi blender je kat Madam Anom. Habis cerita. Setuju?" soal Amin lagi.

Semua mengangguk tanda mengiyakan. dah mula dah keluar aura diktator si Amin ni. Cis!!

"Tapi, nak bagi blender yang macam mana? Yang made from Malaysia ke atau imported goods?" tanya Suria, lembut.

"Err.. tak tahu lah. Yang mana lagi elok?"

"Malaysia. Belilah barangan buatan Malaysia" jawab Saiful sambil membuat gaya promoter tidak berbayar. Memang boleh jadi duta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Baik beli barangan import lah. Sebab setahu aku, kalau barang eletrik macam ni, kalau made in Malaysia tak tahan lama. Silap hari bulan, tak sampai sehari je kau pakai, dah terbakar dah blender tu. Kalau tak terbakar, meletup," jawab Intan pula.

"Eh, tak lah Intan. Bagi aku, barangan buatan Malaysia tu okey je kualiti dia. Mak aku pakai TV, peti ais jenama Malaysia, okey je. Dah 18 tahun dah. Lagi tua dari usia kita ni ha," sokong Salmah.

"Well, I tak rasa macam tu. For me, kalau nak beli barang tu, it is better if we buy the imported goods since their qualities are much better than the locals," kata Ameerah yang memang seperti kebiasaan dengan nada gediknya. Slang British accent yang dibuat-buat memang memualkan setiap yang mendengar.

"Amboi, hang ingat jenama omputih tu baguih sangat ka? Awat? Malaysia ni tak baguih ka? Aku rasa baik kita pakat beli blender jenama Malaysia, murah pun murah kan?" nada suara Abu naik sampai 70 megawatt.

"Kita kalau nak bagi orang, biar bagi yang branded bro," kata Haykal yang dari tadi diam, tiba-tiba bercakap.

"Tu namanya tak ikhlas nak bagi," sahut Ayuni yang duduk di hujung belakang kelas.

"Eleh, bukan Madam Anom tahu pun niat kita bagi tu ikhlas ke tak," balas Haykal. Tak mahu kalah dengan perempuan. Jatuh air mukanya nanti.

Semua sudah maklum, Haykal dan Ayuni memang tak boleh dibawa berbincang sekali. Memang dah macam Perang Dunia. Sorang tu Pakatan Axis, yang lagi sorang tu Pakatan Berikat.

"SUDAH!!" tengking Amin. Naik sampai 170 megawatt suara si Amin, ketua kelas yang dari tadi dok main pusing pen di meja guru. Pen Gsoft dibalingnya ke lantai. Semua terkedu. Sidang debat ala parlimen 5 Hijau tergendala seketika.

"Dari tadi asyik gaduh je. Takde benda lain. Dah, aku putuskan. Biar kita beli blender yang jenama Malaysia. Tak payah susah sangat nak cari buatan UK lah, US lah, Jepun lah. Aku mintak pendapat, bukan suruh korang bertekak macam nak berdebat," marah Amin.

"Aku tak nak dengar apa-apa lagi. Aku tahu, esok semua kena bayar duit RM5 kat Ayuni. Ayuni, kau kutip sampai cukup. Sorang tak bayar, memang nahas aku kerjakan esok. Tak kira baik laki atau perempuan," tutur Amin yang kelihatan sudah menyinga. Nafasnya laju. Jantungnya juga berdegup laju disebabkan marah.

Semua diam. Tak siapa berani membantah kata-kata Amin si diktator 5 Hijau aura Adolf Hitler itu.

***

Minggu depannya, Madam Anom kelihatan gembira sekali dengan pemberian blender jenama Malaysia yang diberikan anak muridnya Tingkatan 5 Hijau. Blender itu telah digunakan oleh beliau untuk memasak di rumah.


***

(5 tahun kemudian)

Blender pemberian pelajar Tingakatan 5 Hijau itu terus berbakti kepada tuannya, Madam Anom.


without wax,
haniyahaya:)

No comments: