Monday, February 7, 2011

Ujian Teori

Salam 'Alaik..

Pagi tadi, aku pergi ke MyEG Services di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi untuk menduduki Ujian Teori untuk Lesen Memandu. Sampai di sana dalam pukul 8.15 pagi. Aku orang ketiga yang beratur untuk menduduki ujian tersebut. Bila nombor giliranku dipanggil, aku mendapati bahawa nama aku tidak lagi didaftarkan oleh Sekolah Memandu tempat aku belajar tu. Haisy.. Sabar sahajalah. Menyirap tu ada juga, tapi aku tenangkan diri ini. Yalah, nak jawab nanti payah pula. Moody pula pagi-pagi ni.. Tak baik untuk kesihatan.( ceh, merapu je )

Nak dijadikan cerita, aku pun mendail nombor Sekolah Memandu tempat aku belajar tu. Dan seperti kebiasaannya, telefon tidak berangkat. Ah, aku sudah jangkakan hal itu semestinya akan terjadi.

Aku mendail lagi, tetapi kali ini mendail nombor telefon bimbit salah seorang tenaga pengajar di sekolah memandu tersebut yang aku rasa elok aku panggil 'pak cik'. ( tidak pasti sama ada tenaga pengajar atau sekadar kakitangan yang menguruskan segala benda ). Lama juga aku tunggu, baru berangkat. Dan seperti kebiasaan juga, aku terpaksa bersabar dengan orang tu kerana dia sememangnya tidak mesra alam orangnya. Nada suaranya itu sungguh menjengkelkan kepada sesiapa yang mendengarkannya. Macam nak tak nak saja berurusan dengan orang. Haihla.. Dia mengatakan bahawa dia mungkin akan sampai pada pukul 9.30 begitu.. Mak aii.. Lambatnya! Aku tak adalah cakap macam tu. Hanya mampu bercakap di dalam hati sahajalah. Jadi mahu tak mahu, aku menelaah buku latihan tu sementara menunggu ketibaan 'pak cik' tu.
Tunggu punya tunggu, hampir pukul 9 pagi tak juga sampai-sampai. Aku menghantar kiriman SMS kepada ibu untuk memberitahu hal yang sebenar. Ibu menyuruhku supaya bersabar. Mungkin ada hikmahNya, dia memberi suntikan semangat kepada anaknya yang seorang ni yang sememangnya kurang sabar dan degil orangnya..hehehe~

Alih-alih, 'pak cik' tadi menelefon aku. Aku pun menjawablah. Dia menyuruh aku supaya mendaftar sendiri kerana internet di Sekolah Memandu rosak. Macam-macam alasan yang diberikan. aku mengiakannya sahaja. Dan dia juga menyuruh aku membayar duit RM27 di kaunter pendaftaran. Masya Allah! Tatkala itu satu sahaja aku fikir. Duit tak cukup!!!

Okey, aku pun pergi lah menurut kata-kata pak cik tu. Menggeletar je rasa bila kena keluarkan duit sebanyak RM30 untuk membayar duit untuk kad ujian JPJ, yuran perkhidmatan dan juga ujian teori. Baki tinggal RM3. Tambah dengan duit simpanan, adalah dalam RM5. Cuma RM8 je yang ada kat dalam tangan aku sekarang? Mana aku nak cekau lagi duit kalau untuk balik nanti? Ha, jalan kaki sajalah! Bukan jauh sangat pun. Kalau ada teksi, rembat.. Tapi bayar tu, biar aku masuk rumah dulu ambil duit. Boleh ke? Dah..dah..pergi jawab ujian dulu!

Aku pun jawablah.. Takut juga menjawab ujian tu. Takut gagal sahaja. Kalau gagal, kena bayar RM40 lagi. Haisy..duit, duit.. Agaknya lah kan, bila lah kita boleh bayar dengan air ke udara ke? tk pun semua benda kat dunia ni tak perlu guna duit. Boleh tak? Hahaha~ idea gila!

Jawab punya jawab.. Alhamdulillah, dapat 47! Terasa macam nak canang satu dunia saja.. ( ni memang ayat tak boleh bla..) Punya lah pulun habisan tahap apa ntah hujung minggu lepas. Nasib tak terbawa-bawa sampai mimpi. Kalau tak, haru sungguh!

Lepas tu, aku pun pergilah ambil slip kat kauter. Penyelia India tu suruh aku bayar RM10 untuk ambil gambar. Aku pun terangkanlah situasi aku yang pada ketika itu tidak mempunyai wang. Dia pun faham sebabnya bila tengok dompet Sonic Underground yang aku pakai sejak aku berumur 9 tahun (Darjah 3) aku tu habuk tak ada! Dia pun cakaplah, tak mengapa..boleh bayar kemudian. Alhamdulillah, lega rasanya kerana ada insan yang begitu memahami. Selepas itu dia bertanyakan aku, bagaimana aku mahu pulang? Balik sorang je ke? Jalan kaki? Aku pun mengiakan. Dia bersimpati terhadap aku terus dia menyuruh aku menunggu teksi di tempat yang berhampiran di situ. Aku pun menurut sahaja katanya dan mengucapkan terima kasih.

Tak sampai 2 minit, aku berjaya mendapatkan teksi. Dalam hati, aku berdoa agar tak jadi apa-apa yang tak elok. Mungkin kerana aku sering membaca tentang gadis dirogol, dibunuh ketika bersendirian sewaktu menaiki teksi jadi, aku risau. Sungguh! Dalam hati aku panjatkan doa kepada Allah agar menyelamatkan aku daripada segala malapetaka. Dan aku juga berdoa agar duit tambang tu cukup kerana aku hanya mempunyai RM8 sahaja dalam tanganku.

Alhamdulillah, aku berjaya sampai di kawasan perumahanku dengan selamatnya. Aku menyuruh pak cik (err..tak tahulah nak bagi pangkat apa..umur dalam 30-an) pemandu teksi tu berhenti di hadapan SMK Jalan Empat yang sememangnya belakang rumah aku sahaja. Dan cuba teka, berapa tambangnya?


jeng..jeng..jeng..


RM7.30!!

wohooo~ Mahal gila bukan? Mungkin selama ni aku tak pernah naik teksi seorang diri kerana biasanya mesti ada ibu di sisi. Ni pula naik seorang dengan duit tak ada.. Haihla.. Aku pun cepat-cepat bayar duit tambangnya dan keluar daripada teksi itu dan menuju ke rumah..


inilah resit tambang teksi..


TAMAT~

Pengajaran:

i)Jangan lupa bawak duit lebih untuk tujuan kecemasan. Kebiasaannya memang aku bawa duit lebih..Tapi entah kenapa hari ini tidak..
ii) Sentiasa bercakap dengan nada lembut dan tolong menolong antara sati sama lain. Aku hairan, kenapa bangsa aku sendiri begitu rendah nilai budi bahasanya berbanding bangsa lain? Bukankah dahulu orang Melayu memang cukup sinonim dengan budi bahasanya yang cukup tinggi itu?


without wax,

haniyahaya :)

2 comments:

Afiqah Inani Mohd Haslin said...

hani, dah bole dpt L da tu..
insyaAllah, dimudahkan sgale urusan. (^_^)

haniyahaya :) said...

Terima kasih ye afiqah.. Insya Allah, ameen~ :)