Tuesday, January 25, 2011

Renovation rumah

Di sebuah kawasan perumahan yang hampir 98% daripadanya terdiri daripada orang Melayu, terdapat sebuah rumah yang sedang membuat kerja-kerja pengubahsuaian rumah. Rumah itu sebenarnya baru sahaja dibeli daripada pemilik sebelumnya. Harganya tidak berapa pasti, tetapi yang pasti ianya mencecah ratusan ribu ringgit. Maklum sahajalah, rumah di kawasan bandar sangat mahal harganya, walaupun rumah teres 2 tingkat yang tidaklah sebesar mana, besar sikit dari kangkang kera.
Kerja-kerja pengubahsuaian biasanya dilakukan oleh orang-orang indon yang diupah. Mana mungkin kerja-kerja sedemikian rupa dilakukan oleh belia Malaysia. Belia Malaysia kan lebih cenderung dengan kerja di tempat yang ber’air-cond’, bergaji tinggi, membawa ‘briefcase’ dengan kot di badan dan tali leher yang dijerut di leher.


Hari berganti hari, bulan berganti bulan, kerja-kerja pengubahsuaian masih giat dijalankan. Bunyi bising mesin gerudi memang menjadi makanan jiran sebelah menyebelah. Tidak kira pagi petang, jiran-jiran dihidangkan dengan santapan muzik sang gerudi. Jiran-jiran sudah semestinya kadang-kadang terasa geram dan seperti ingin membentak, namun dipendamkan sahaja perasaan itu dan dibuang jauh-jauh. Rasa hormat masih lai menyelubungi diri masing-masing. Biarlah, itu hak setiap individu. Pepatah Melayu ‘alah bisa, tegal biasa’ memang sudah menjadi prinsip yang diamalkan sejak kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan. Semua tahu, pemilik rumah berkenaan tidak bersalah dalam hal ini. Pekerja-pekerja upahannya itu sepatutnya kena lebih peka rasanya terhadap masyarakat sekeliling.


Pada suatu hari, tatkala burung-burung sudah pulang ke sarang, budak-budak sekolah sesi petang sudah berada di rumah sambil menikmati juadah makan malam, kedengaran lagi bunyi sang mesin gerudi dari rumah sebelah(rumah yang membuat kerja-kerja pengubahsuaian). Keluarga yang tinggal bersebelahan sudah terasa bingit. Sudahlah si anak tidak dapat makan dengan tenang, ni si bapa pula nak mengaji pun tak senang. Dah Maghrib ni.. Suara kartun ‘Kiteretsu’ di televisyen tenggelam dengan suara sang gerudi.. Akhirnya si bapa bingkas bangun dari sofa dan keluar. Ahli keluarganya yang lain diam sahaja, tidakk berani berkata apa-apa. Hanya mampu melihat dari jendela rumah yang kecil sahaja kerana baju-baju bergantungan di jendela rumah. Si bapa kelihatan sedang berdiskusi dengan mamat indon tersebut.


Tidak sampai 5 minit, si bapa masuk semula. Bunyi sang mesin gerudi sudah tidak lagi kedengaran. Si anak tersenyum dan kembali menjamah juadah makan malam sambil menonton cerita kartun. Si bapa kembali mengaji sambil menunggu seruan azan Maghrib tiba.
without wax,
hani yahaya:)

nota kaki: setiap kali azan sepatutnya kena berhenti bekerja. Hormati azan. Dan sebagai muslim seharusnya menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim. Tidak ketinggalan juga Solat Jumaat..

No comments: